Majlis Qurban di Kampung Jangkar bersama pemimpin HIKMAH
Alhamdulillah, pada 28 Oktober 2012, Islamic Relief Malaysia (IRM) dan HIKMAH telah menganjurkan "Majlis Qurban" di Kampung Jangkar yang merupakan sebuah pekampungan Islam yang terletak diantara sempadan Malaysia dan Indonesia.
Perjalanan ke Kampung Jangkar telah memakan masa selama 1 jam 30 minit dengan menaiki pacuan empat roda yang disediakan oleh pihak HIKMAH. Setelah tiba di destinasi, rombongan IRM dan HIKMAH telah disambut baik oleh penduduk kampung yang juga telah bersiap sedia dengan upacara perasmian yang bakal dirasmikan oleh Yang Dipertua HIKMAH, Tan Sri Datuk Amar Hj Abdul Aziz Datu Hj Hussain.
Di dalam perasmian Majlis Qurban tersebut, Yang Dipertua HIKMAH telah memuji usaha yang dilakukan oleh pihak IRM atas sumbangan 2 ekor lembu untuk dikorbankan dan diagihkan kepada masyarakat kampung sekitar kawasan Jangkar.
Kata beliau, "Usaha yang dilakukan oleh pihak IRM wajar dijadikan contoh kepada badan-badan sukarelawan lain dalam memberikan komitmen mereka dengan melakukan aktiviti yang murni seperti ini disamping aktiviti lain yang bermatlamat untuk membantu umat manusia yang mengalami kesusahan di seluruh dunia".
Turut hadir sama ialah Pengarah Negara IRM, Tn. Ir Hj. Zairulshahfuddin bin Zainal Abidin, Penghulu Hj Bujang dan ahli Majlis Tertinggi HIKMAH.







